Sabtu, 12 April 2014

BUIH CINTA ( CERPEN KEDUA )

Aku kenal kau. Kau yang dahulunya menangis menahan kesakitan pada lutut. Ada luka calar disitu. Aku pergi menuju kearah kau. Aku meniup luka pada lutut kau. Tangisan yang tadi kuat sudah kurang bunyinya. Sudah kurang air mata yang mengalir. Tinggal saki-bakinya masih kedengaran. Kau mengangkat wajah kau. Kau lihat aku. Satu senyuman kau hadiahkan sambil hingus kau lap dengan hujung kolar baju warna ungu kau. Comel dalam comot. Ya itu kau.

Sejak dari hari itu, aku selalu menemani kau bermain. Dan aku juga ikhlas menemani kau dari hari ke hari. Bila kau kesekolah, aku menunggu kau diluar sekolah. Maafkan aku jika tidak dapat menemani kau disitu. Waktu rehat kau dan aku duduk di pagar. Aku diluar dan kau dibahagian dalam pagar. Bekalan kau kongsi dan minuman aku bagi dua. Petang kau akan ajar aku membaca dan mengira. Walaupun aku lebih tua tiga tahun dari kau.

Masuk sekolah menegah, masih tetap sama. Kau didalam bangunan yang besar dan putih itu, manakala aku masih diluarnya. Waktu rehat aku tetap menemani kau. Kau ajar aku sejarah, kau ajar aku ilmu hisab dengan kaedah yang lagi banyak langkahnya. Maafkan aku kerana aku hanya mampu mengajar kau erti kehidupan, mengajar kata-kata pujangga dan melakar keindahan alam terus keatas sehelai kertas putih.

Masa tetap berlalu, kau melanjutkan pelajaran ku peringkat yang lebih tinggi. Aku tidak dapat menjaga kau. Tak mampu rasanya kesini kesana menuju ke bangunan besar dan luas itu hari-hari. Jika boleh aku nak jaga kau disitu. Tetapi terpaksa aku biarkan kau keseorangan tanpa ada aku disisi kau. Maafkan aku jika aku tidak dapat bersamamu selalu seperti dahulu.

Orang sekeliling kita mengata, mengata aku kerana bodoh hendak menjaga kau. Mereka juga kata aku dan engkau bagai enggang dan pipit. Mungkin kerana kau punya sesuatu yang dipandang oleh orang dan aku tiada apa yang boleh di banggakan. Sejak dari itu aku nekad, nekad meninggalkan kau. Meninggalkan kau untuk kehidupan kau yang lebih baik akan datang tanpa aku. Maafkan aku kerana kali ini aku pergi. Aku tidak mampu menemani kau. Aku tidak layak rasanya selalu di sisi kau.

Kini kau Berjaya. Ya, aku masih mengikuti perkembangan kau. Aku lihat kau mengalirkan air mata sekali lagi. Aku tahu itu adalah air mata kegembiraan kau. Tapi maafkan aku tidak dapat mengelap air mata kau. Dari jauh aku memerhatikan engkau. Sekotak hadiah aku hantarkan mengunakan khidmat penghantaran. Aku harap kau akan terima dengan ikhlas isi hadiah itu dan akan membaca sepucuk surat yang aku kirimkan sekali didalamnya. Maafkan sekali lagi kerana kali ini aku terpaksa pergi jauh dan mungkin dalam agak lama. Jaga lah diri kau baik-baik.

Lima tahun aku pergi. Lima tahun kau tidak dapat aku padamkan dalam hati dan dalam minda ku. Lima tahun itu juga aku rasa bersalah kerana tidak dapat menjaga kau. Tetapi, hari ini aku kembali. Kembali dengan satu kerjaya yang mampu menutup mulut-mulut yang suka mengata kita dahulu. Mengubah pemikiran kuno mereka. Aku disini, ditempat kali pertama aku lihat kau menagis dengan luka di lutut. Aku rindu. Bila aku mencari kau sudah tiada lagi ditempat yang aku cari.

Aku nampak buih sabun. Cantik. Itulah kesukaan kau. Kau suka bermain buih sabun. Kau akan tiup air sabun sehingga buih-buihnya terbang di bawa angina. Itulah yang engkau sering lakukan bila aku dan engkau menghabiskan masa bermain bersama-sama. Aku baring dan kau akan duduk disebelah aku meniup air sabun itu.

Aku terbangun dari baringku. Aku mencari siapa yang meniup buih sabun itu. Aku berlari memandang kiri kanan tanpa aku sedar aku tersandung tersepak batu lalu rebah menyembah bumi.

Kedengaran suara ketawa. Aku mendongak. Seorang gadis berdiri di depan aku, ada sebotol air sabun di tangan kirinya. Gadis bertudung ungu itu menghulurkan tangan kanannya. Ingin membantu aku untuk berdiri.

Matanya aku kenal, senyumannya aku sangat aku kenal. Ya, engkau ada di depan aku. Kau yang aku rindu ada di depanku. Kau yang dahulunya comot kini menjadi seorang yang cantik secantik bidadari.

Kita duduk bersama, satu demi satu cerita dan kisah kita kongsikan. Sampai suatu saat, kita terdiam. Tiba-tiba tanpa dipaksa. Kau pandang kehadapan, melihat matahari yang hampir lenyap. Kau mula bersuara.

“ Aku tunggu kau, aku tahu kau pergi lima tahun untuk menutup mulut-mulut mereka yang tidak faham akan kehidupan kau. Aku tahu tiada niat kau untuk meninggalkan aku. Aku tunggu kau dan aku tahu bila kau kembali kau akan kesini. Ke tempat kita.”

Aku hanya mendiamkan diri. Aku rasa satu perasaan yang bahagia, tetapi masih ada risau dalam hati.

“ Aku pun begitu. Maafkan aku kerana membiarkan kau keseorangan tanpa aku.”

Kau hanya tersenyum dan mengangguk.

“ Maafkan sekali jika soalan ini tidak sepatutnya aku tanyakan. Jika puteri yang dulunya seorang yang comot, pastinya ada putera yang menjaganya kini setelah comot berubah menjadi cantik. Siapakah puteranya? “

Kau bangun, berdiri membelakangi aku. Wajah kau muram. Aku kaget. Aku tidak mahu hati kau terguris. Maafkan aku.

“ Dulu puteri comot ada penjaganya, penjaganya dulu comot juga. Sekarang puteri hanya menunggu penjaga yang sama-sama pernah comot dengannya dan ingin menjadikan penjaga itu menjadi putera hidupnya.” Kata-kata itu kau luah kemudian kau tersenyum dan mula melangkah.

Aku bangun. Aku melompat kegembiraan. Teruja. Sangat teruja. Kau nampak aku melompat seperti monyet. Kau tersenyum. Tapi mulut kau tetap jahat, kau panggil aku monyet selepas melihat aksi aku tadi. Aku mengejar kau dan kau berlari menyelamatkan diri, ya kini kau selamat. Selamat dalam jagaan aku. Terima kasih cinta kerana menunggu aku, terima kasih kenangan kerana bertemukan dia kepada ku.

NF_IS (HALUS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan