Setiap hari aku terserempak dengan dia, sering mengenakan baju putih yang sudah kekuningan warnanya akibat sudah lama dan memakai seluar pendak paras bawah kepala lutut. Berselipar jepun dan ada sehelai kain pelikat di bahunya. Kain pelikat itu mungkin bertujuan untuk mengelap keringatnya. Ada topi di kepalanya. Untuk mengelakkan kepala dari terkena panas yang amat.
Dia akan melalui laluan yang sama hari-hari. Laluan itu juga dia akan guna bila dia balik ke rumah. Kadang-kadang, aku pernah ternampak dia memancing di tepi sungai kecil. Masa itu mungkin dia sudah selesai tugasnya di kebun buahnya.
Pernah aku berbual-bual bersamanya. Rupanya dia hidup bertiga dengan dua cucunya. Isterinya sudah lama tiada. Cucu-cucunya anak yatim-piatu. Tiada mak ayah semasa sekolah rendah lagi, akibat satu kecelakaan jalan raya yang meragut nyawa mereka. Dialah datuk, dialah ayah dan dia jugalah ibu kepada cucu-cucunya. Biarpun kehidupannya daif, dia tidak pernah mengeluh malah sentiasa panjatkan syukur kepada NYA. Sering memohon doa untuk cucu-cucunya, berdoa meminta kehidupan yang sihat dan dipanjangkan usia. Dia ada berkata,
"Biarlah usia aku dipanjangkan sehingga cucu-cucuku sudah mendapat pekerjaan nanti. Bila mereka berjaya barulah aku tenang untuk melepaskan dunia ini."
Tersentuh hati aku, semangat seorang lelaki yang aku panggil Tok Jam. Mungkin usianya hampir sama seusia ayah aku. Mungkin dia nampak terlebih lanjut pada luarannya dek kerana pekerjaan yang dilakukan. Yang memerlukan dia berpanas dan bermain dengan cuaca yang kadang-kadang hujan di tengan hari.
Fikiran ku hanya satu. Tidakkah dia pernah penat? Tidakkah dia pernah sakit? Tidakkah dia pernah mengeluh. Dari apa yang aku lihat, mana mungkin dia tidak pernah penat, sudah semestinya dia kuatkan semangat. Mana mungkin dia pernah sakit, tapi dia tahu kalau dia layan perasaan sakit makin sakitlah dia. Aku tahu dia tidak pernah mengeluh, baginya hanya dialah yang mampu menyara kedua cucu kesayangannya. Mana mungkin dia pernah mengeluh.
Tok Jam salah seorang idola yang mungkin orang tidak sedar akan kewujudannya. Tok Jam juga merupakan salah seorang manusia yang tidak pernah menyalahkan takdirnya, baginya apa yang berlaku ada hikmah dan apa yang berlaku ini jugalah yang membuatkan dia sedar dengan ketentuan yang tertulis untuknya. Biarlah dia sanggup berpanas, biarlah bermain hujan sekalipun. Asalkan cucu-cucunya dapat bersekolah dan makan dengan secukupnya. Biarlah dia berlapar sekalipun asalkan cucu-cucunya tidak berlapar.
Semangatmu tidak pernah luntur, kekuatanmu tidak pernah kendur, imanmu tidak pernah lenyap, kesyukuranmu tidak pernah kau lupakan. Bagimu, Allah memberi apa yang ada asalkan kita bersyukur dan teruskan kehidupan walaupun ada kekurangannya pada keinginan kita. Biarkan kekurangan itu dicari kelebihan sendiri oleh kita dan bukannya menunggu ia datang bergolek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan